Tingkatkan Imej Perubatan Islam.

Kemunculan individu yang mendakwa mereka sebagai perawat Islam namun kemudiannya melakukan penipuan dengan mengenakan caj tinggi dan kesalahan moral seperti mencabul benar-benar mencalarkan imej perawatan Islam.

Ibaratnya, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Kesalahan segelintir individu yang mahu mengaut untung atas angin ini menyebabkan perawat Islam lain yang menjalankan tugas dengan penuh amanah serta bertanggungjawab terkena tempiasnya.

Malah, golongan terbabit juga ‘melatah’ apabila Akta 775 Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 diwartakan pada Mac 2016.

Ketua Lajnah Penyelidikan dan Pembangunan Darussyifa’ Malaysia Datuk Abdul Rashid Mat Amin berkata, tujuan akta itu diwartakan adalah untuk mengawal selia serta mengatur perjalanan beberapa amalan perubatan tradisional dan komplementari.

Satu daripadanya ialah amalan pengubatan Islam.

Menurut beliau, tujuan lain pewartaan akta itu adalah untuk mengawal tingkah laku perawat Islam dan mengelakkan berlakunya kejadian negatif seperti itu.

“Dalam akta ini, ada satu badan utama yang mengawal selia dan terdapat peruntukan yang membolehkan pengamal perubatan didakwa di mahkamah jika melanggar peruntukan termaktub di dalam akta berkenaan.

“Contoh, seorang itu tidak boleh mempraktikkan amalan pengubatan atau perawatan Islam jika tidak mendaftar dengan Bahagian Pengubatan Tradisional dan Komplementari KKM.

“Proses pendaftaran membabitkan beberapa tahap tapisan seperti saringan i-Syifa dan lain-lain. Ia bagi mengelakkan wujudnya kaedah rawatan yang meragukan,” katanya.

Di samping itu, Abdul Rashid berkata, langkah ini dapat menghasilkan pengamal pengubatan Islam yang berdaya saing dan memiliki profesionalisme tinggi setaraf dengan bidang rawatan lain.

“Saya mengambil satu contoh hasil kajian dilakukan oleh pakar Universiti Malaya (UM) di 70 pusat rawatan Islam di seluruh negara.

“Ia mendapati sembilan daripada 70 pusat rawatan Islam terbabit menggunakan jin sebagai perantara merawat pesakit.

“Sebanyak 90 peratus pengamal perubatan Islam ini mendapat ilmu rawatan dengan berguru bersama perawat berkelayakan.

“Manakala 10 peratus pula memperoleh ilmu rawatan menerusi mimpi, anugerah dan ilham. Kaedah seperti ini tidak diajar dalam Islam,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, tidak dinafikan peraturan ‘ketat’ dalam Akta 775 Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 menyebabkan segelintir pihak tidak bersetuju dengan pewartaannya.

Jelas Abdul Rashid, malah ada pihak yang memberikan pandangan untuk mengeluarkan perubatan Islam daripada akta berkenaan.

“Darussyifa’ berpandangan akta perawatan Islam perlu kekal berada di bawah Akta 775 Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016.

“Ini kerana akta ini meningkatkan imej dan aura perubatan Islam dan perlu diangkat hingga ke peringkat global.

“Ini juga selaras dengan hasrat Pengasas Darussyifa’ Allahyarham Datuk Dr Haron Din semasa hayatnya. Akta 775 Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 ini boleh membawa perubatan Islam ke tahap itu,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, beliau tidak pasti mengapa ada pihak terlalu bimbangkan dengan pewartaan Akta 775 Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016.

“Dalam erti kata yang mudah, jika tidak melakukan kesalahan, mengapa perlu takut dengan akta ini?

“Sudah tentu akta ini penuh dengan peraturan dan kawalan.

“Bagi yang mempunyai sikap sambil lewa, pastinya memang tidak suka dikawal dan tidak patuh kepada peraturan. Peraturan dalam akta ini dibuat untuk kebaikan bersama, bukan memudaratkan mana-mana pihak,” katanya.

Abdul Rashid berkata, akta itu turut mengutamakan hak pesakit yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

“Perawat bukan sahaja boleh dikenakan tindakan undang-undang malah dipenjara jika merawat pesakit secara sambil lewa, mencederakan dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Antara lain pewartaan akta ini ialah, perawat perlu memberikan perkhidmatan perubatan terbaik kepada pesakit,” katanya.

Menurut beliau, perubatan tradisional dan komplementari adalah sebagai pelengkap kepada perkhidmatan perubatan di negara ini.

“Perubatan moden dan perubatan Islam perlu bergerak seiring, seterusnya dapat mewujudkan sistem kesihatan yang sempurna di negara ini,” katanya.

Selain itu, katanya, akta ini tidak mencemarkan kesucian al-Quran dan saringan i-Syifa yang perlu dijalani individu yang mahu menjadi perawat Islam dapat menghalang terjadi perkara terbabit.

“Apatah lagi saringan ini (i-Syifa) dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tentunya ia dapat memelihara kesucian Islam,” katanya.

Turut hadir pada sesi temu bual berkenaan, Pengerusi Darussyifa’ Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengerusi Darussyifa’ Ustaz Abdul Rahman Nawas dan Penolong Setiausaha Agung Darussyifa’ Salwa Datuk Dr Haron Din.

Silakan Share Untuk Manfaat Bersama!
1
Sekiranya Anda Memerlukan Rawatan Pengubatan Islam, Sila TEKAN Logo Whatsapp Di Bahagian Bawah Sebelah Kanan Laman Web www.UstazAminDarussyifa.com Ini Dan Nyatakan Nama, Umur, Lokasi Serta Tujuan Anda Menghubungi Pihak Kami.
Powered by