Rawatan Susuk

SUSUK DARIPADA SEGI BAHASA

Menurut Kamus Dewan bahasa Edisi Keempat, perkataan susuk mempunyai pelbagai maksud seperti berikut:-

  1. Bentuk atau pun bayangan tubuh badan.
  2. Pasak atau pun baji bagi mengetatkan rudasuk.
  3. Jarum emas yang dimasukkan ke dalam kulit muka.
  4. Lubang tempat memasukkan sesuatu seperti lubang tempat kancing baju atau pun pelipit tempat meletakkan geligin pada alat tenun.

Maka, timbul perkataan terbitan lain daripada kata dasar susuk seperti:-

  1. Bersusuk yang bererti memakai susuk untuk pemanis atau berpasak.
  2. Menyusuk yang bererti menusuk atau memasukkan jarum emas, dan lain-lain ke dalam kulit supaya wajah kelihatan manis.

SUSUK MENURUT PANDANGAN PENGAMAL PENGUBATAN ISLAM

Susuk ialah sejenis amalan sihir, iaitu bahan-bahan tertentu seperti emas, perak, besi (logam), atau pun bahan lain seperti teras kayu dimasukkan ke dalam badan seseorang berserta dengan jampi serapah bagi mendapatkan sesuatu kelebihan seperti kekuatan, kecantikan, kesihatan dan lain-lain lagi. Pemakai susuk juga perlu mengikut segala pantang bagi memastikan keberkesanan susuk itu.

HUKUM MEMAKAI SUSUK

Dalam Tafsir Al-Azizi Al-Hamid, sihir didefinasikan sebagai jampi serapah, tangkal-tangkal dan simpulan-simpulan tali yang memberi kesan kepada hati dan badan. Ia menyebabkan sakit, membunuh, memisahkan di antara dua orang, iaitu menjadikan perasaan benci kepada dua orang yang berkasihan atau pun menimbulkan rasa kasih antara yang saling membenci dan sebagainya.

Ilmu susuk adalah suatu ilmu yang melibatkan pengantaraan jin dan amalan sihir. Oleh itu hukumnya haram dan jelas bertentangan dengan syarak. Amalan sihir sangat ditegah di dalam Islam.

Orang yang memakai susuk cenderung mempercayai kuasa susuknya selain daripada Allah S.W.T. Ini kerana, apabila pemakai susuk mula merasakan perubahan terhadap diri mereka, akan timbul perasaan mempercayai dan bergantung pada susuk yang dipakai sehingga semua pantang larang dipatuhi walaupun ada yang bercanggah dengan agama.

Silakan Share Untuk Manfaat Bersama!