Kuat Main Sihir

Walaupun masyarakat hidup pada zaman moden, amalan dan kebergantungan mereka terhadap amalan sihir masih tidak berkurangan disebabkan 3 komponen:-

1.Ingin kelebihan dan kuasa supaya dikenali ramai seperti belajar ilmu kebal.

2.Untuk kecantikan, kacak dan menarik serta awet muda dengan memakai susuk.

3.Bertujuan mendatangkan penderitaan dan kesakitan berpanjangan kepada individu yang disihir yang biasanya didorong perasaan dengki, benci serta dendam.

Menurut Ketua Lajnah Penyelidikan dan Pembangunan Darussyifa’ Malaysia, Datuk Abdul Rashid Mat Amin, di antara bentuk sihir zalim tanpa perikemanusiaan adalah sihir santau, sihir pemisah (suami isteri), sihir pendarahan (wanita datang bulan tidak berhenti-henti) dan sihir memandulkan.

Senario seperti ini menunjukkan amalan sihir masih mendapat tempat dalam hati masyarakat. Golongan seperti ini terlalu rapuh jiwanya menyebabkan mereka mudah mempercayai ‘kuasa’ makhluk lain selain daripada ALlah SWT.Ada kalanya, segelintir individu mempunyai kepercayaan bahawa penyakitnya boleh sembuh jika bertemu pengamal ilmu sihir.

Oleh itu, mereka terbawa-bawa dan percaya sepenuhnya bahawa jampi, mantera, tangkal serta azimat yang diperoleh daripada pengamal ilmu sihir terbabit boleh menyembuhkan penyakitnya. Cara ini boleh menyebabkan berlakunya pergeseran akidah kerana meletakkan kepercayaan bahawa yang menyembuhkan bukan lagi ALlah SWT.Sihir bermaksud ‘sembunyi’ sehinggakan penyihir akan membuatkan mangsa tidak mengetahui dirinya disihir.

Sebahagian besar pesakit yang datang ke Darussyifa’ mengadu mereka sudah mendapatkan rawatan di hospital atau klinik, tetapi diberitahu tiada penyakit fizikal yang dapat dikesan, namun sakit masih berterusan. Ada individu tidak dapat melakukan pekerjaan selepas dinaikkan pangkat, sedangkan sebelum itu dia cemerlang dalam tugasnya. Akhirnya dia dibawa ke Darussyifa’ untuk menjalani rawatan secara pengubatan Islam.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/…/2021/06/717272/kuat-main-sihir

Silakan Share Untuk Manfaat Bersama!