Rawatan Penyakit Jasmani

 

Menurut Ibn Qayyim Al-Jawziyyah dalam ‘At-Tibb An-Nabawi’, menyatakan Penyakit Tubuh Badan merujuk kepada penyakit jasmani. Jasmani membawa pengertian komponennya melibatkan anggota-anggota zahir termasuk organ-organ dalaman seperti hati, jantung, paru-paru dan sebagainya. Sebaliknya penyakit rohani melibatkan roh, akal, perasaan dan emosi manusia.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. menjelaskan tentang satu organ dalam badan manusia yang memberi pengaruh besar kepada tingkah laku dan jiwa seseorang.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh An-Nu’man Ibn Bashir R.A:

Terjemahannya: “…..dan sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik, maka akan baik seluruh jasad, apabila ia rosak, maka akan rosak seluruh jasad (badan), ia tidak lain melainkan Al-Qalb (jantung/hati).

Dari sudut terminologi Arab, Al-Qalb bermakna jantung, tetapi dalam istilah Melayu diterjemah sebagai hati.

Pengertian Al-Qalb dalam hadis adalah tepat kepada makna jantung. Ini kerana dalam istilah Arab, hati dinamakan kibdah atau kabid.

Al-Qalb lebih kepada makna jantung. Jantung disebutkan sebagai segumpal daging di dalam hadis tersebut kerana pentingnya jantung kepada kehidupan manusia. Jantung menjadi pusat pengepam darah ke seluruh anggota tubuh badan. Ia mengepam darah sebanyak 80 kali dalam satu minit atau 4,800 kali dalam satu jam dan lebih 100,000 kali dalam sehari. Jika jantung berhenti seketika, ia boleh memberi kesan buruk kepada tubuh badan manusia dan boleh menyebabkan kerosakan pada otak dan boleh membawa maut.

Oleh itu jantung menjadi organ pertama yang digerakkan Allah S.W.T. untuk berfungsi dan menjadi organ terakhir berhenti bergerak. Inilah keunikan ciptaan Allah S.W.T. terhadap jantung dan kepentingannya disebutkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadis baginda.

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah menjelaskan bahawa penyakit jasmani juga dapat dirujuk di dalam Al-Quran.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah An-Nur ayat 61:

Terjemahannya: ‘Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian)….”.

Daripada ayat ini, beliau menambahkan bahawa Allah S.W.T. telah menjelaskan tentang penyakit jasmani (tubuh badan) adalah melalui ayat-ayat yang menyentuh tentang haji, puasa dan wuduk. Kerana menurut beliau, ayat-ayat tersebut membawa makna yang luas dalam soal ini dan jelas menunjukkan keagungan Al-Quran itu sendiri khususnya bagi orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Oleh yang demikian, beliau menyebutkan lagi bahawa konteks memelihara diri daripada penyakit jasmani, terdapat tiga kaedah penjagaannya iaitu menjaga kesihatan, menghindar dari pembawa penyakit dan meninggalkan daripada menggunakan benda atau bahan kotor atau rosak yang boleh menyebabkan penyakit.

Silakan Share Untuk Manfaat Bersama!