Akta Perubatan Tradisional Dan Komplementari Mampu Kawal ‘Penunggang Agama’.

PERUBATAN Islam melalui ruqyah syar’iyah (penyembuhan menggunakan ayat-ayat al-Quran) adalah salah satu daripada kaedah rawatan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Ia mula digerakkan secara formal oleh Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa) pada 1988 yang diasaskan oleh Allahyarham Datuk Dr. Haron Din.

Semenjak itu, ia mendapat sambutan masyarakat sebagai salah satu kaedah rawatan komplementari dalam mendapatkan kesembuhan daripada penyakit.

Kaedah rawatan ruqyah syar’iyah merupakan satu modaliti dalam Peraturan Perubatan Tradisional dan Komplementari 2021 di bawah bidang amalan perubatan Islam.

Perkara ini dilihat memberikan kesan yang positif terhadap usaha untuk memartabatkan kaedah rawatan secara lebih tersusun dan efektif.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar laporan-laporan akhbar berkaitan penipuan dan salah laku moral oleh segelintir individu yang mengaku dirinya pengamal perubatan Islam.

Perkara ini jelas mencalarkan imej perubatan Islam bahkan lebih teruk lagi mencemarkan imej agama Islam. Jadi, bagaimanakah kita ingin menghalang perkara ini daripada berlaku?

Antaranya kaedah perundangan. Adanya Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016, kita berharap ia dapat mengawal selia dan menghalang perkara sebegini daripada berulang.

Kawal selia ini dapat dilihat dalam usaha untuk melaksanakan kehendak akta berkenaan. Antaranya pengamal perubatan Islam perlu mendaftarkan diri dengan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK), Kementerian Kesihatan yang bermula tahun ini.

Setiap perawat akan melalui beberapa bentuk tapisan seperti saringan i-Syifa untuk melayakkan diri mereka mendapat kelulusan menjalankan atau menawarkan perkhidmatan rawatan.

Pendaftaran dan saringan seperti ini sudah pasti dapat mengesan seterusnya mengawal daripada wujudnya kaedah-kaedah rawatan meragukan. Selain itu, ia juga dapat menghasilkan para perawat yang kompeten dan mempunyai standard profesionalisme tinggi setaraf bidang rawatan lain.

Antara aspek lain yang amat penting adalah akta itu memberi kuasa kepada kerajaan untuk menjalankan pemeriksaan dan menutup premis rawatan sekiranya melanggar undang-undang yang ditetapkan dan membuat pendakwaan di mahkamah.

Di samping itu, wujud satu peruntukan khas dalam akta itu berkaitan hak pesakit untuk menuntut ganti rugi jika berlaku kecuaian oleh perawat.

Dakwaan menyatakan kewujudan akta itu akan mencemarkan kesucian al-Quran dan seumpamanya perlu dibuktikan secara jelas.

Saringan ini juga dilihat dapat menghalang segelintir individu daripada mempergunakan ayat al-Quran atau doa yang dipetik daripada hadis dengan cara tidak benar yang mana perbuatan itu jelas menghina dan mencemarkan kesucian Islam.

Justeru, akta ini adalah sangat baik demi menjaga kesucian agama daripada golongan yang ingin mengambil kesempatan atau disebut ‘penunggang agama.’

SAIFUL SYAHRUL MOHD. HANAFI
Penolong Setiausaha Agung 1
Darussyifa Malaysia

Silakan Share Untuk Manfaat Bersama!